DISEDIAKAN OLEH :
NUR AZIMAH BINTI AJALI
DX145270PIJ01
Dalam usaha membina modal insan yang seimbang dari sudut intelek,emosi dan spiritualnya,maka keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tidak boleh mengabaikan peranan teknologi dalam membangunkan sahsiah dan personaliti unggul manusia lebih-lebih lagi pada era digital ini.Teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran wajar diberikan tumpuan dalam usaha untuk merealisasikan harapan untuk melahirkan generasi yang bijak pandai menjelang abad 2020.
Information and Communication Technology ( ICT ) ataupun dikenali sebagai Teknologi Maklumat dan Komunikasi merupakan suatu kaedah yang penting yang boleh diaplikasikan penggunaannya oleh guru-guru dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran abad ini.Teknologi ini dan adalah salah satu usaha meningkatkan keberkesanan dan kualiti terhadap pengetahuan yang disampaikan oleh guru dan diterima dengan pemahaman yang mendalam oleh pelajar.Bermulanya kaedah pengajaran dengan menggunakan kapur,kini dengan kemajuan sains dan teknologi telah merubah kaedah pengajaran tradisional tersebut kepada kedah pengajaran yang lebih canggih lagi iaitu penggunaan komputer,bahan elektronik,LCD,kamera digital dan lain-lain lagi dalam proses PDP abad ini.Dalam hal ini tidak dinafikan lagi kepentingan dan kelebihan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran yang boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu kelebihan kepada murid dan guru.
KELEBIHAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (TERHADAP MURID)
Terdapat banyak kelebihan menggunakan kemudahan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran tidak lain tidak bukan adalah dapat menarik perhatian murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Hal ini kerana aplikasi yang digunakan seperti microsoft powerpoint,flash video dan lain-lain mempamerkan imej dan visual yang menarik dan berwarna-warni sekali gus dapat menarik lagi minat murid untuk terus mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.Disamping kesan audio dan imej suara yang menarik dapat mengelakkan murid daripada mudah berasa jemu dan bosan menjalani proses pembelajaran dan pengajaran kerana lebih tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui ICT.Justeru itu suasana pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan akan menjadi lebih seronok dan murid-murid akan lebih aktif mengikuti aktiviti pembelajaran yang dijalankan.
Meningkatkan daya kefahaman murid juga adalah salah satu kelebihan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Sebagai contoh dalam pengajaran subjek sejarah yang memerlukan murid mengingati sesuatu peristiwa yang berkronologi.Guru hanya perlu menyediakan persediaan grafik contohnya tayangan filem dalam pengajaran.Hasil pengaplikasian ICT tersebut dapat merangsang daya kefahaman dan ingatan murid dengan lebih mudah kerana murid akan lebih fokus dan cenderung dengan persembahan grafik yang ditayangkan.Tidaklah mereka hanya bergantung dengan nota-nota dan catatan yang kadang kala memeningkan kepala dan menimbulkan kekeliruan untuk memahaminya.Senario ini sekali gus dapat meningkatkan prestasi murid terhadap mata pelajaran yang agak sukar dengan bantuan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan ICT.
Selain itu,penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat mendidik murid-murid mendalami ilmu tentang dunia teknologi disamping melatih mereka untuk lebih bersedia menghadapi masa depan pendidikan yang lebih mencabar.Contohnya dapat melatih dan mendidik mereka mengendalikan komputer dengan lebih efisyen lagi.Sebagaimana yang diketahui,kewujudan Sekolah Bestari memerlukan kemahiran penggunaan komputer dikalangan murid-murid mereka kerana hampir seratus peratus proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah dengan menggunakan sumber teknologi komunikasi maklumat ( ICT ).Sebagai contoh murid-murid dibekalkan dengan komputer yang dimasukkan di dalamnya unsur-unsur pembelajaran mengikut silibus buku teks.Guru perlu mengajar hanya melalui komputer.Jika murid tidak berkemahiran dan tidak didedahkan dengan ilmu pengendalian komputer lebih awal, mana mungkin proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar.Oleh sebab demikian penggunaan ICT amat penting kepada murid-murid kerana sedikit sebanyak membantu murid mengetahui cara pengendalian komputer sekali gus membuat persiapan awal untuk mereka lebih celik komputer bagai menyahut seruan kerajaan agar melahirkan generasi yang celik komputer pada abad ke-21 bermula daripada peringkat awal lagi.
KELEBIHAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (TERHADAP GURU)
Sebagaiman pentingnya penggunaan ICT kepada murid,begitu juga pentingnya penggunaan ICT kepada guru.Salah satunya adalah membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam bidang teknologi maklumat.Secara tidak langsung guru terdedah dengan penggunaan alatan dan aplikasi ICT seperti penggunaan komputer,LCD dan lain-lain lagi melalui pengalaman yang diperoleh semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan ICT.Pengetahuan dan kemahiran mengendalikan alatan ICT ini amat penting bagi seseorang guru itu kerana gurulah yang perlu menghadapi murid-murid abad-21 yang bersifat multimedia ini.Tidak menjadi satu kerugian kepada guru apabila mengaplikasikan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu,penggunaan ICT juga memudahkan guru menyampaikan ilmu kepada murid. Apabila guru menggunakan ICT dalam pembelajaran,keperhatian murid akan lebih tertumpu dengan pengajaran yang sedang berlangsung.Hal ini kerana tumpuan murid tidaklah hanya tertumpu terhadap nota dan catatan sahaja.Dengan adanya penggunaan ICT dalam pembelajaran,proses tersebuat akan menjadi mudah dan murid juga tidak akan berasa bosan mengikuti proses pembelajaran tersebut.Sekali gus ilmu yang disampaikan oleh guru akan lebih mudah difahami oleh murid-murid.
Disamping itu,kelebihan yang diperolehi guru apabila menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah bahan pengajaran yang telah disiapkan boleh diguna pakai semula pada masa akan datang.Sebagai contoh guru menggunakan slaid dalam pengajaran sejarah.Sepertimana yang diketahui sejarah yang ada sekarang ini tidak berubah dari dulu kini dan selamanya.Guru-guru yang menjalankan proses pengajaran sejarah dengan menggunakan slaid boleh menggunakan kembali slaid yang telah disiapkan dan menggunakannya lagi pada tahun yang akan datang.Tidak perlulah guru tersebut membuat dan menyediakan slaid yang baru kerana mereka sudah sedia ada bahan pengajaran yang lepas.Paling tidak guru hanya perlu meng'edit' atau menambah bahan dalam slaid tersebut untuk penambahbaikan.Selain memudahkan kerja ianya juga menjimatkan masa guru untuk menyediakan bahan bagi proses pengajaran dan pembelajaran.
Secara keseluruhannya,penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilihat banyak memberi impak positif terhadap murid-murid dan guru-guru.Mengikut statistik kajian yang dilakukan terhadap guru-guru j-QAF tentang penggunaan BBM berasaskan Teknologi Mulimedia dalam pengajaran j-QAF yang dilakukan oleh Siti Fatimah Ahmad dan AB Halim Tamuri,dapat disimpulkan bahawa hampir semua murid dan guru mendapat kelebihan dan manfaat daripada pengunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Konklusinya,abad ke-21 ini adalah abad yang bersifat multimedia dan interaktif beranimasi.Setiap guru serta pelajar tidak kira di bangku sekolah rendah dan menengah mestilah didedahkan kepada teknologi multimedia bagi mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi masa depan pendidikan yang mencabar.Persiapan awal dalam pendidikan komputer dan teknologi multimedia akan memudahkan para guru dan pelajar agar celik IT dan tidak mengalami 'kejutan budaya multimedia' pada masa akan datang.
RUJUKAN:
1-Noriati A Rashid,Boon Pong Ying,Sharifah Fakhriah Syed Ahmad dan Wan Kamaruddin Wan Hasan , (Teknologi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran (Siri Pendidikan Guru) OXFORD FAJAR SDN.BHD)
2-Siti Fatimah Ahmad,AB Halim Tamuri (Persepsi Guru Terhadap Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Berasaskan Teknologi Multimedia Dalam Pengajaran j-QAF) , http://www.ukm.my/jiae/pdf/20.pdf
3-Charles Ng Hon Yen,Shamsudin Othman , (Sumbangan Dan Peranan Komputer Dalam Bidang Pendidikan)Akses Masteri Karangan,OXFORD FAJAR SDN.BHD
No comments:
Post a Comment